SPIES – adakah ia satu kursus?

SPIES adalah satu konsep dalam pembangunan modal insan yang dperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008.  Kerangka SPIES menjadi satu model pembangunan modal insan bagi diri, keluarga, organisasi dan masyarakat untuk Selangor.

SPIES menekankan prinsip dan nilai. Dalam setiap satu aspek SPIES, terdapat prinsip dan nilai-nilai yang perlu diketengahkan dalam program SPIES dan modul-modul yang dijalankan.

Dalam aspek S – Spiritual, antara prinsipnya ialah manusia dijadikan oleh Tuhan, manusia diperhatikan oleh Tuhan, manusia harus mengikut peraturan Tuhan, dan manusia akan balasan baik dan buruk dari Tuhan. Antara nilai dalam aspek S-Spiritual ini ialah taat, patuh, berbuat baik, berkebajikan, membantu, mencegah kejahatan, yakin (pada Tuhan yang menjadi pemberi rezki dan pelindung)

Begitu juga dengan setiap satu aspek seterusnya P-Physical, I-Intelektual, E-Emosi dan S-Sosial yang mempunyai prinsip yang digariskan dan nilai-nilai universal bersamanya.

SPIES bukan satu kursus. Apabila ia diletakkan dalam satu program yang diberi nama program SPIES, ia mengandungi beberapa modul yang dijalankan bagi membantu peserta memahami konsep SPIES dan bagaimana peserta mengaplikasikan atau menghayati konsep itu dalam kehidupan harian, samada di dalam diri,  dalam keluarga, di tempat kerja, dan dalam masyarakat.

Program SPIES mempunyai tahap-tahapnya yang tersendiri. Tahap pertama SPIES berfokus kepada membuat penjajaran minda, emosi, dan sikap serta tabiat. Ia telah dimulakan sejak Ogos 2008 selepas kerajaan Pakatan Rakyat mengambilalih pemerintahan negeri Selangor.

Penjajaran minda, emosi, dan sikap serta tabiat ini bertujuan pertamanya bagi meletakkan kembali manusia pada jalan hidup yang menjadikan Tuhan sebagai rujukan, Tuhan sebagai Pemberi rezki, Tuhan sebagai Penolong, Tuhan sebagai Pelindung, Tuhan sebagai Hakim,  dan Tuhan sebagai Pemberi balasan yang baik dan buruk.  Mewujudkan rasa hadirnya Tuhan (God’s consciousness) dalam diri peserta adalah pra-syarat dalam membangunkan manusia dan cara hidup mereka seterusnya. Apabila manusia melupakan Tuhan, maka berlakulah kejahatan dan kerosakan dalam masyarakat dan di atas muka bumi ini.

Mengapa banyak berlaku social disorder, social problem, dancrime? Mengapa insan rosak? Mengapa insan menjadi liabiliti dan tidak menjadi aset dalam pembangunan negara? Ia adalah kerana nilai diri yang telah rosak. Apabila nilai diri rosak, maka diri akan terkeluar dari landasan cara hidup yang benar; lantas berlaku kehidupan sosial yang tidak teratur, gejala sosial, dan jenayah.

Mengapa manusia mencuri, mengambil rasuah, bercerai, membuang anak, mengambil dadah, merogol, berzina, mabuk, dan seumpamanya? Ia berpunca dari pegangan yang longgar  dan hubungan yang rapuh dengan Tuhan. Ia tidak kuat berpaut pada nilai-nilai murni yang universal yang dianugerah oleh Tuhan.

Dalam program SPIES, peserta diminta memerhati dan berfikir tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka melalui modul yang dirancang. Berfikir akan membebaskan diri dari dibelenggu oleh kejumudan. Berfikir akan membebaskan diri dari menjadi pak turut atau “yes man.”.  Befikir akan membawa peserta untuk meneroka jalan penyelesaian kepada pelabagai masalah dan keranah kehidupan.

Tahap pertama program SPIES bukan mengajar manusia tentang teknik berfikir tetapi mengajak manusia berfikir tentang diri, hubungan diri dengan keluarga, hubungan diri dengan majikan, hubungan diri dengan masyarakat, hubungan diri dengan negara serta hubungan diri dengan Tuhan. Natijah dari berfikir tentang semua ini akan membawa kepada suasana pembaikan supaya persekitaran menjadi sihat, harmoni dan seimbang.

Berfikir adalah asas kepada pemerolehan ilmu. Membaca, menulis, mengira, dan mengamal atau membuat (aplikasi) bukan asas kepada ilmu, sebaliknya adalah kaedah dalam mencari dan mengumpul ilmu dan seterusnya mengukuhkan ilmu. Apakah orang yang buta huruf itu bermakna ia tidak boleh berfikir?

  • Ada orang yang tidak pandai membaca, tetapi  ia boleh berfikir dan berusaha dalam hidup.
  • Ada orang yang tidak panda mengira, tetapi ia boleh berfikir bagaimana mendidik dan mengasuh anak-anaknya.

Ilmu diperolehi selepas manusia melihat dan memerhati ‘alam di sekelilingnya, mengumpul maklumat, meneliti pola, simpton, tanda-tanda, trend, dan tabiat tentang sesuatu fenomena. Kesemua ini dikenali sebagai meneliti ‘ibarah.  Bertolak dari sini, maklumat itu diteliti dan dijadikan andaian atau hipotesis untuk diuji secara berulang dalam pelbagai konteks. Apabila maklumat itu sudah diuji dan disahkan, disokong dengan fakta, maka ia menjadi ‘ilmu. Apabila ‘ilmu ini di’amalkan maka orang itu akan menjadi ‘alim atau pakar dalam bidangnya. Tetapi menjadi seorang ‘alim tanpa tunduk dan patuh pada Tuhan atau ‘abid bukanlah seorang manusia yang bersyukur atau berterima kasih pada Tuhannya. Manusia yang ‘alim atau bijak atau pakar dalam bidang ‘ilmunya tetapi menolak kewujudan Tuhan, menentang hukum Tuhan, menolak kebenaran dari Tuhan adalah manusia yang sombong dan takabbur serta lupa daratan.

Keenam-enam perkataan yang dimulakan dengan huruf ‘ain ini disusun dalam grafik di bawah ini (Supyan Hussin, 2012). Sususan perkataan ini dibuat secara liner kerana ia adalah proses lazim dan saintifik dalam pemerolehan dan pembinaan ‘ilmu, iaitu langkah  no. 1 hingga no. 3, manakala langkah no. 4 ‘amal membawa seseorang kepada no. 5 iaitu ‘alim, atau pakar. Tetapi seseorang yang ‘alim atau pintar atau pakar dalam bidang ‘ilmunya serta tunduk pada Tuhan, maka jadilah dia seorang manusia yang kembali kepada fitrah iaitu kesemulajadian tujuan manusia dan ‘alam itu dicipta.

ain 1

Di dalam Islam, berfikir adalah satu bentuk ibadah. Allah memuji orang yang berfikir tentang ‘alam, tentang keagungan penciptaan yang dijadikan oleh Allah.

Slide1

Terdapat beberapa istilah yang digunakan di dalam al-Quran yang merujuk kepada makna berfikir, antaranya ialah: tafakkurta’akulta’abburtazakkur dan tadabbur. Malah  terdapat juga istilah asalnya sebagai pancaindera tetapi yang membawa umat Islam supaya berfikir, antaranya ialah basharanadzara dan sami’a.

tafakkur (memikirkan)

“Katakanlah : “Aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa perbendaharaan Allah ada padaku. Dan tidak aku mengetahui perkara ghaib, dan aku tidak juga menngatakan bahawa aku seorang malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepada ku”. Katakanlah: ”Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat?” maka apakah kamu tidak memikirkannya? (Al-An’am : 50)

ta’akul (mengguna akal)

“Mengapakah kamu suruh orang lain berbuat baik, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu mengguna akal? ”.

(Al-Baqarah : 44)

ta’abbur (memerhati dengan teliti)

“…maka ambillah pengajaran wahai orang yang mempunyai pandangan”. (Al-Hasyr : 2)

tazakkur (mengambil peringatan)

“”Dan dia dibantah oleh kaumnya. Dia berkata” Apakah kamu hendak membantahku tentang Allah, padahal sesungguhnya Allah telah memberi petunjuk kepadaku.” Dan aku tidak takut kepada (malapetaka dari) sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah kecuali di kala Tuhanku menghenddaki sesuautu (dari malapetaka) itu. Pengetahuan Tuhanku meliputi segala sesuatu. Maka apakah kamu tidak mengambil peringatan?” (Al-An’am : 80)

tadabbur (mempertimbangkan)

“Maka apakah mereka tidak memerhatikan al-Quran? Kalau sekiranya al-Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalam al-Quran ” (An-Nisa’ : 82)

bashara (memperhatikan)

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa Kami menghalau (awan yang mengandungi) air ke bumi yang tandus, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman yang daripadanya menjadi makanan binatang ternakan dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan”. (As-Sajdah : 27)

nadzara (melihat)

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan”. (Al-Ghasyiah : 17)

sami’a (mendengar).

“dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, beberapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah). Maka apakah mereka tidak mendengar?”

(As-Sajdah : 26)

Ringkasnya, berfikir adalah asas kepada pemerolehan ‘ilmu. Di dalam Islam, ‘ilmu mempunyai hirakinya iaitu

  1. ‘Ilmu Wahyu
  2. ‘Ilmu Ilham (Laduni)
  3. ‘Ilmu intuisi
  4. ‘Ilmu ‘akal (empirikal, tangible, non-tangible)
  5. ‘Ilmu pancaindera

Dalam SPIES, satu aspek yang ditekankan ialah I-Intelektual.  Berfikir adalah aktiviti yang meningkatkan daya intelek pada diri seseorang. SPIES memberi perhatian betapa pentingnya nilai-nilai yang baik dalam aspek S-Spiritual untuk memelihara ‘akal yang menjadi tempat untuk manusia berfikir.

SPIES, di peringkat pertama, tidak mengajar bagaimana berfikir atau teknik berfikir secara khusus, tetapi mendidik peserta  menghargai dan menjaga ‘akal. Apabila rosak ‘akal, maka manusia menjadi kurang waras dan tidak siuman serta hilang perimbangan. Dalam membangunkan manusia, memuliara ‘akal adalah perkara kedua terpenting selepas memulihara agama.

Di dalam sosiologi Islam, ada 5 perkara yang mesti dipulihara dalam membangunkan manusia:

  1. Agama
  2. ‘Akal
  3. Keturunan
  4. Nyawa
  5. Harta

Aspek I-Intelek dalam SPIES mengajak peserta supaya menjauhkan diri dari amalan yang boleh merosakkan ‘akal atau melemahkan daya ingatan seperti minum arak, dadah, judi, fantasi, dan berhibur melampau. Kesemua aktiviti ini yang membawa kepada kerosakan dan kelemahan ‘akal yang akan menjadikan diri tidak produktif.

Di samping itu, SPIES mengajak peserta memulihara ‘akal dengan berhati-hati dalam urusan makan dan minum, misalnya

  1. Berhenti makan sebelum kenyang, tidak makan melampau, kerana perut adalah gedung penyakit
  2. Kurangkan makan daging merah tetapi lebihkan daging putih dan ikan
  3. Makan makanan yang ada unsur fiber seperti buah-buah, sayur, kurma
  4. Makan buah-buahandahulu sebelum menjamu makanan tengahari atau malam
  5. Banyakkan minum air putih dan elakkan atau kurangkan minum air bersoda (gas)
  6. Elakkan minum air yang dimasuki semut

Islam juga menekankan makan dan minum dari sumber yang halal, kerana makanan dan minuman dari sumber yang haram akan merosakkan kualiti diri seseorang dan ahli keluarganya untuk jangka panjang. ‘Akal yang menjadi tempat berfikir secra intelek dan jiwa juga akan rosak akibat memakan dan meminum sesuatu yang haram.

Aspek  I-Intelek dalam SPIES tidak berdiri sendiri tetapi bergantung antara satu sama lain dengan aspek lain dalam SPIES. Dalam ertika lain, dalam tahap pertama program SPIES, kepentingan menghargai ‘akal, memulihara ‘akal, dan meningkatkan kekuatan ‘akal bagi berfikir adalah lebih utama daripada kepentingan teknik berfikir, walaupun kedua-duanya penting.

Islam menggalakkan manusia berfikir untuk memperbaiki diri dan suasana. Ini dinamakan inovasi. Misalannya dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang maksudnya:

  • Hari ini mesti lebih baik dari semalam, dan esok mesti lebih baik dari hari ini.
  • Allah kasih kepada yang ber’amal dan berusaha ke arah menyempurnakan ‘amalnya.

Kedua-dua hadis ini yang berumur lebih 1400 dahulu menyarankan manusia berfikir untuk memperbaiki sesuatu yang sedia ada, iaitu satu konsep “pembaikan berterusan” (continuous improvement). Dalam istilah Jepun disebut sebagai “kaizen.”

Proses memperbaiki diri dan suasana memerlukan inovasi dalam berfikir. Bagi mencipta inovasi, manusia perlu kepada teknik dan kaedah berfikir. Program SPIES di peringkat pertama ini tidak berfokus kepada kemahiran tetapi kepada penjajaran minda, emosi, sikap dan tabiat dalam gaya hidup.

Salah satu program yang berjaya membentuk cara manusia berfikir dan membentuk sikap dan tabiat manusia alah Program 5S (seiri, seiton, seiso, seiketsu, and shitsuke) yang dicipta oleh orang Jepun. Ia adalah formula yang terhasil kerana inovasi dalam berfikir. 5S  (Sort, Systematize, Sweep, Standardize and Self-Discipline) adalahsatu kaedah pengurusan tetapi nilai pada kaedah 5S ini ialah consistency and transparency. Kedua-dua nilai inilah yang ditekankan oleh SPIES iaitu dalam aspek I-Intelek. Di dalam pengurusan kualiti, salah satu cabangnya ialah TQM, Total Quality Management, yang berkisar dalam isu pembaikan berterusan. Dengan adanya SOP atau Standard Operating Procedures dan ISO, maka lahirlah budaya  consistency and transparency. 

Di dalam Islam, Nabi s.a.w. menyebut dalam sebuah hadis, yang maksudnya:

  • Allah kasih kepada orang yang beramal, walaupun sedikit, tetapi istiqamah dalam amalnya.

Ia membawa makna apabila seseorang melakukan kerja, walaupun sedikit, tetapi konsisten dalam kerjanya, maka ia akan menghasilkan manusia yang berkualiti. Di dalam Islam, 5 hukum iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus adalah satu sistem yang membawa nilai  consistency and transparency.  Rukun 13 dalam solat juga adalah satu sistem sejagat (ISO) dalam dunia Islam yang menekankan nilai  consistency and transparency. 

Dalam membawa anjakan paradigma melalui  penjajaran minda, emosi, sikap dan tabiat bagi menjalankan program pembangunan modal insan ini, ia memerlukan kelompok kritikal  (critical mass) dalam masyarakat. Kerajaan Selangor mensasarkan formula 5% daripada (5 juta) jumlah penduduk Selangor iaitu 250,00 orang bagi menjayakan anjakan paradigma pada tahap pertama SPIES ini. Sejak SPIES dijalankan Ogos 2008 hingga Disember 2013, jumlah penduduk Selangor yang telah mengikuti program SPIES tahap pertama ialah 125,522 orang. Jumlah program SPIES yang telah dijalankan ialah sebanyak 1,607 sejak Ogos 2008 hingga Disember 2013.

Sementara itu, program SPIES tahap kedua sudah pun berjalan yang melibatkan pegawai kerajaan negeri sahaja. Program SPIES tahap kedua berfokus kepada peningkatan kualiti diri dari sudut etos, iaitu ketrampilan, ketokohan dan keberadaan diri. Dalam program peringkat kedua ini, modul-modul yang menyumbang kepada peningkatan kualiti diri dijalankan. Ia termasuk modul kepimpinan, modul pembinaan imej, modul berfikir secara kritikal, kreatif dan inovatif, modul komunikasi interpersonal, modul pengucapan awam, modul penyediaan bahan persembahan, modul memimpin mesyuarat dan perbicangan, modul pengurusan strategik, modul pengurusan konflik, modul pengurusan perubahan, modul pengurusan aset, dan beberapa modul lain lagi.

Kerajaan Selangor mengharapkan rakyat Selangor khususnya akan menyambut baik program SPIES yang dijalankan oleh negeri Selangor kerana program SPIES tidak mendoktrinkan peserta dengan fahaman politik sempit atau memaksa seseorang peserta untuk memuja pemimpin atau manusia.

This entry was posted in Falsafah SPIES. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s